Friday, July 15, 2011

Untungkah Malaysia?

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) memeterai perjanjian yang bakal menyaksikan Harimau Muda A beraksi dalam Liga Singapura manakala 'Young Lions' mengambil alih tempat pasukan itu dalam Liga Super, musim depan.

Langkah itu disifatkan pucuk pimpinan kedua-dua persatuan sebagai langkah terbaik untuk 'mengembalikan semangat perseteruan di antara dua negara yang memiliki himpunan sejarah mendalam dalam bola sepak.'

Memang daripada segi luaran, ia nampak bagus. Tetapi pada masa sama, apakah ikatan FAM dan FAS itu terlalu berpaksikan kepada sejarah lalu? Memilih untuk terus diselubungi detik-detik manis lalu tanpa ada banyak pulangan untuk bola sepak negara pada masa depan?

Aku timbulkan persoalan kerana secara peribadi, aku tidak nampak untung banyak bakal diraih skuad Harimau Muda A khususnya, dan bola sepak Malaysia secara amnya, dengan keputusan itu.

Pertamanya, apa bakal mampu diraih skuad Harimau Muda A? Apabila musim depan Liga Singapura bermula, skuad kendalian Ong Kim Swee sudahpun di penghujung kempen kelayakan akhir zon Asia untuk Sukan Olimpik 2012. Majoriti pemain-pemainnya juga akan hampir mencecah usia yang tidak akan membenarkan mereka beraksi pada temasya Sukan SEA 2013.

Jadi, apa untungnya?

Bagi aku, bola sepak Singapura tampak akan mengaut lebih untung. Kenapa? Kerana ia akan menghidupkan semula kancah bola sepak republik itu yang ketika ini ibarat kian malap daripada sehari ke sehari.

Lihat sahaja bandingan mudah. Liga Malaysia, terutama Liga Super, menyaksikan purata terendah kehadiran penonton sekitar 6 ribu penonton. Angka 6 ribu penonton itu pula adalah antara purata terbaik kehadiran penonton menyaksikan saingan Liga Singapura. Jadi daripada segi populariti, nampak sangat bola sepak Singapura akan untung.

Bagaimana pula dengan untung buat pemain?
Bukan rahsia betapa menerusi usaha pembangunan sekian lama, bola sepak negara sudah mula menampakkan peningkatan. Kita sudah ada 'bintang' sendiri seperti Norshahrul Idlan Talaha, Khairul Fahmi Che Mat, Safiq Rahim, Amirulhadi Zainal, Ashaari Shamsuddin dan ramai lagi. Lahirnya mereka ketika adanya ruang untuk menyinar ekoran langkah tidak membenarkan pengambil pemain import.

Musim depan, Liga Malaysia akan menyaksikan pemain import kembali. Mungkin pemain-pemain tempatan kini sudah sampai satu tahap yang mampu menyaksikan mereka sudah berupaya berdiri sama tinggi dengan pemain-pemain import. Jadi, mungkin ada baiknya.

Tetapi membawa Singapura kembali? Benarkah pucuk pimpinan FAM benar-benar percaya cabaran bakal dijelmakan 'Young Lions' akan mampu meningkatkan tahap kemampuan pemain tempatan? Atau ia jadi medan untuk pemain-pemain republik itu lebih meningkat, supaya pada masa terdekat, mereka mampu kembali menewaskan skuad negara?

Aku kurang yakin. Kerana itu, aku mahu beri peringatan. Aku tidak mahu bola sepak negara seperti 'menang sorak, kampung tergadai.' Aku juga tidak mahu FAM bertindak seperti 'kera dihutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan.

Fikirkanlah!

1 comment:

Doctor Romario said...

Agreed...Just the S.League is not enough for our lads...we must continue with their international exposure in Europe and South America as well.


Doctor Romario
For the Game. For the World.