Wednesday, October 27, 2010

FAM 'bunuh angsa bertelur emas'? Kroni puas?

Bukan kejutan apabila FAM bertindak menaikkan harga tiket untuk perlawanan akhir Piala Malaysia di antara Negeri Sembilan dan Kelantan.

Kenapa aku katakan begitu? Kerana FAM tidak pernah berfikir panjang. Tiada strategi jangka panjang. Apa yang difikirkan ketika ini ialah final ini satu peluang, kenapa tidak naikkan harga tiket supaya lebih wang dapat dihasilkan.

Kenapa aku katakan FAM tidak berfikir panjang? Kerana ini strategi perniagaan yang sudah lapuk dan kolot - 'ambil kesempatan apabila ada peluang, untuk keuntungan jangka pendek. ' Seperti 'membunuh angsa bertelur emas'. Itu resipi perniagaan yang sudah terbukti gagal.

Kerana apa? Kerana orang yang sudah 'terkena', mereka tidak akan kembali lagi ke perniagaan kita. Seharusnya begitu ramai 'bussinessmen' dalam FAM tahu teori dan pendekatan ini.

Aku terpanggil untuk mengulas selepas mendapat sms seorang rakan:

'(Aku) cuma kesian kepada penyokong kerana mereka penyokong setia bola sepak tempatan yang memenuhkan kantung FAM tak kira venue home atau away....(mereka) ditindas...di kala most of Malaysians tengok 'live' BPL, puak ini yang rajin ke stadium....'

Itu betul. Aku setuju. Susahnya ialah FAM masih hidup dalam 'kepompong' sendiri, masih percaya mereka boleh berbuat apa sahaja dan penyokong akan tetap setia, seperti lembu dicucuk hidung.

Itu kesilapan parti pemerintah sebelum PRU 12 lalu. Dan sudah ada petanda parti pemerintah tahu dan sudah mahu belajar daripadanya. (sorry, aku terpaksa bawa persamaan supaya 'orang politik' dalam FAM boleh faham).

Tetapi adakah FAM nampak mahu berubah? Sebelum kongres lalu, bukan main lagi dijanji angin perubahan. Aku sendiri disanggah dan dihentam penyokong segelintir pemimpin apabila aku mempersendakan segala janji itu secara sinis. Terbukti salahkah aku ketika ini?

Angin perubahan itu sudah jadi angin sepoi-sepoi bahasa yang bukan sahaja langsung tidak menyakitkan, tetapi menyejukkan lagi FAM. Siapa menanggung akibat? Penyokong dan peminat yang sebelum ini mengharapkan perubahan, tetapi kini dipaksa menanggung beban apabila ramai dalam FAM hanya mengangguk kepala tanda setuju apabila harga tiket dinaikkan....Kalau tak setuju, kenapa tak 'berkokok'?

FAM sepatutnya lebih bijak. Jadikan kesempatan final ini sebagai strategi 'menawan' lebih ramai lagi penonton supaya meminati bola sepak tempatan. Final adalah pentas terbaik untuk 'membalas budi'. Mungkin tidak dapat untung segera, tetapi pupuk minat dan daya tarikan supaya penyokong akan sanggup hadir secara lebih kerap lagi, semata-mata selepas mendapat pengalaman manis ketika final ini.

Tiada rugi kita berbudi, kerana untungnya akan kita rasainya juga suatu hari nanti.

Satu lagi. Aku tertanya-tanya apa rasional Persatuan Bola Sepak Kelantan hanya mahu menjual 10 ribu tiket dengan harga RM30. Dan baki 20 ribu tiket dijual menerusi pakej berharga RM40 untuk tiket berharga RM30 dan juga barangan cenderamata pasukan. Siapa yang untung? Jangan anggap aku bodoh dan guna ayat seperti 'duit ini untuk persatuan dan pasukan juga.' Takkan tiada siapa yang mengaut untung?

Belajarlah daripada pengalaman lalu. 'Orang kita' bukan bodoh lagi.

Sunday, October 24, 2010

Sathia 'mangsa', Jawatankuasa Media FAM buta?

Angin perubahan yang melanda negara, daripada aspek lebih terbuka terhadap peranan media, nampaknya langsung tidak dirasai oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Itu sahaja mampu aku simpulkan ketika mendengar perkhabaran FAM menjatuhkan penggantungan enam bulan terhadap ketua jurulatih Kelantan, B Sathianathan - sehari sebelum Kelantan turun pada aksi kedua separuh akhir Piala Malaysia.

Bagi aku, memang FAM sebagai badan induk bola sepak negara, ada kuasa. Tetapi kenalah tindakan dan hukuman kena dengan kesalahannya. FAM tidak boleh berselindung dengan kuasa yang ada. Kerana itu adalah resipi kegagalan pasti untuk sesiapa sahaja di FAM yang cuba berselindung di belakangnya.

Aku setuju dengan pendapat sahabat karibku, Eric Samuel, ketika ditemubual di Nadi Arena, Sabtu lalu. Kata Eric: 'Kalau kesalahan Sathia seperti dia keluar kawasan teknikal dan pergi pukul pengadil, itu kita boleh terima. Ini tidak menjejaskan apa-apa. FAM perlu lebih rasional dan tidak hanya menggunakan kuasa untuk menghukum begitu sahaja...'

Itu memang tepat. Malah lebih penting, 'FAM must not only do the right thing, but MUST BE SEEN to be doing the right thing.'

Dalam hal ini, menggantung Sathianathan, sehari sebelum aksi penting pasukannya - untuk kesalahan yang berlaku hampir tiga bulan lalu - mendedahkan tafsiran FAM ada agenda sumbang terhadap Sathianathan dan Kelantan.

Walaupun itu mungkin buat niatnya, tetapi itulah yang ditafsirkan umum.

Seperkara lagi, sebagai Presiden Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (FAM), aku mahu membawa perhatian Pengerusi Jawatankuasa Media FAM, Datuk Subahan Kamal, kepada sikap 'selective prosecution' yang didakwa dilakukan oleh segelintir pegawai Sekretariat FAM.

Ada rungutan rakan-rakan wartawan permohonan mereka untuk kad media perlawanan akhir Piala Malaysia - yang dihantar sebelum tarikh tutup - tidak diluluskan kerana pernah mengkritik FAM.

Aku sedang buat siasatan. Jika dakwaan itu terbukti benar, aku harap Datuk Subahan dapat perbetulkan segera. Ingat kata nasihat, kesabaran ada hadnya. Jika selama ini berdiam diri membiarkan segelintir pegawai berbuat sesuka hati terhadap media, ia tidak akan berpanjangan lagi.

FAM sebelum ini tidak pernah ada Jawatankuasa Media. Datuk Subahan adalah pengerusi pertamanya. Jadi, tolong buat kerja, pantau dan intai mana yang perlu. Juga, ajarkan segelintir pegawai di FAM untuk lebih bijak menangani Media. Jangan pilih pendekatan 'pekakkan telinga, butakan mata, hentam sahaja sesiapa yang kita tidak suka!'

Jika tidak boleh - dilakukan secepat mungkin kerana final hanya beberapa hari lagi - lebih baik tutup Jawatankuasa Media. Ia tidak harus jadi platform mencari publisiti, jika tidak pandai menjaga hubungan dengan pihak yang akan memberikan publisiti itu.

Thursday, October 14, 2010

Tahniah Elaine Koon!

Sasaran 10 emas kontinjen negara di temasya Sukan Komanwel 2010 sudahpun dipenuhi.
Menariknya, angka sasaran itu dicapai menerusi gimnas berirama negara, Elaine Koon - atlit yang sebelumnya tidak langsung diramal mampu menandingi kelentukan aksi gimnas berirama lainnya.
Ia bukti betapa, ketika negara amat memerlukan, akan ada yang mampu bangkit menangkis segala cabaran, menenggelamkan reputasi gemilang lawan, untuk membuatkan negara berbangga, dan Jalur Gemilang berkibar megah di angkasa!.
Tahniah Elaine Koon! Tahniah juga semua pemenang pingat - baik emas, perak mahupun gangsa - yang mengharumkan nama negara di New Delhi.
MALAYSIA BOLEH!!

Ditelan mati emak, diluah mati bapa

(Detik keganasan penonton Selangor dan Kelantan di Stadium Shah Alam, 12 Oktober 2010. Gambar diambil dari laman web Berita Harian, tanpa kebenaran)

Belum pernah dalam lebih 20 tahun terbabit dalam arena sukan tempatan, termasuk majoritinya membuat liputan bola sepak, aku didedahkan dengan berita kematian penyokong yang hadir menyaksikan sesuatu perlawanan.

Malam Selasa lalu, ianya berlaku. Ia memang berita cukup menyedihkan. Tambahan pula ketika mutu bola sepak negara belum lagi mencecah tahap tinggi, seperti di negara-negara hebat yang memang terkenal dengan budaya 'hooligans', atau samseng bola sepak.

Ia memang menyedihkan. Lebih sedih kerana serentak itu juga, 'permainan Malaysia' - menuding jari kepada orang lain - juga cepat dimainkan. FAM juga bersikap aneh kerana reaksi terawal badan induk itu ialah 'Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) tidak bersalah. Ia berlaku di luar stadium.'

Apa sudah jadi ni?

Apakah awal-awal lagi FAM menghantar isyarat 'layanan kes ini akan berbeza?'

Kita pastinya masih ingat insiden keganasan penonton di Kota Bharu tahun lalu. Ia juga berlaku di luar stadium. Tetapi Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) tetap didapati bersalah, dan dihukum - gantung stadium dan denda mencecah ratusan ringgit. Hukuman itu dijatuhkan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM.

Esok, Jumaat, 15 Oktober, Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM akan bermesyuarat. Persoalannya kini, apakah akan ada dalam agenda mengenai insiden terbaru di Shah Alam itu? Atau adakah FAM akan hanya berdiam diri kerana Setiausaha Agung FAS, Datuk Hamidin Amin, adalah pemegang jawatan Naib Presiden FAM dan juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan?

Aku tidak mahu buat banyak spekulasi. Tetapi atas nama konsistensi, harus ada pendirian dan langkah serta tindakan yang sama. Jangan nanti dituduh FAM bersikap pilih kasih. Lagi satu, harap jangan ada alasan yang dibuat-buat untuk menutup kesalahan mana-mana pihak. Kata orang, bangkai gajah tidak akan dapat ditutup dengan nyiru kelapa!

Ini memang menarik. Tepat makna 'ditelan mati emak, diluah mati bapa.'