Monday, February 21, 2011

Kami berbangga denganmu, Azizulhasni Awang!

Inilah kecederaan yang dialami Azizulhasni Awang. Serpihan kayu yang menusuk terus menembusi betis kirinya ketika final acara keirin di Kejohanan Trek Berbasikal Siri Piala Dunia di Manchester.

Apa yang amat membanggakan ialah kegigihan dan kekentalan semangat anak muda kelahiran Terengganu ini, yang tetap gagah bangkit selepas perlanggaran untuk menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, sekali gus membolehkannya dinobatkan sebagai juara keseluruhan selepas empat sirkit Piala Dunia itu.

Azizul sememangnya bukti ahli sukan negara yang amat berdedikasi, bersemangat tinggi dan mempunyai kecekalan hebat untuk menangani dan menongkah segala rintangan yang mendatang.

Alhamdulillah juga diucapkan kerana selepas menjalani pembedahan hampir empat jam, serpihan kayu itu berjaya dikeluarkan tanpa ada langsung merosakkan sebarang arteri darah ataupun otot yang mampu meyingkirkannya daripada medan saingan untuk tempoh panjang.

Syabas buat Azizulhasni Awang, kami warga Malaysia sememangnya berbangga dengan kegigihan dan kejaguhan anda! Semoga Azizul cepat sembuh dan dapat meneruskan impian peribadi - dan juga jutaan rakyat Malaysia - untuk dikalungkan pingat emas pada temasya Sukan Olimpik 2012 di London nanti.

Wednesday, February 16, 2011

'Aku mahu percaya...'

Aku terdorong untuk 'mengusik' ekoran komen salah seorang yang 'tidak bernama' (anonymous) mengenai cabang kewartawanan sukan ketika ini.

Katanya 'wartawan sukan ketika ini lebih kejar glamour...kalau nak glamour, lebih baik jadi wartawan hiburan...'

Aku mahu percaya - bahawa asas kewartawanan - iaitu menulis yang benar - tidak sama sekali digadai ketika membuat laporan.

Aku mahu percaya - bahawa segala usaha untuk mempengaruhi penulisan dan laporan menerusi 'sogokan', tidak akan sama sekali dilayan.

Aku mahu percaya - bahawa rakan-rakan mampu meminggirkan individu-individu yang tidak segan silu bercakap dengan pihak lain bahawa 'aku bagi dia duit', supaya mereka-mereka ini tidak lagi mempersendakan cadang kewartawanan sukan.

Aku mahu percaya - bahawa rakan-rakan mampu kekal objektif, berpaut kukuh kepada fakta dalam menangani sesuatu isu, bukannya berpaut kepada 'keakraban' dengan segelintir pihak hingga mampu mengabui pertimbangan.

Aku mahu percaya - semua tanggapan negatif itu, hanya sekadar satu tanggapan, bukannya kenyataan.

Aku mahu percaya!

Tuesday, February 15, 2011

Misbun 'dikuasai'?

Ini perkhabaran menarik terbaru mengenai isu 'tarik tali' antara Datuk Misbun Sidek dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Aku dengar, Misbun kini tidak tenang. Fikirannya kusut. Dia sayangkan anak didiknya, Lee Chong Wei. Dia mahu tolong Chong Wei untuk terus berbakti kepada negara. Sampailah mengejar misi pingat emas pertama Sukan Olimpik 2012 di London nanti.

Tetapi ada yang katanya sudah 'control' Misbun. Yang bercakap bagi pihak Misbun. Ada ramai kawan-kawan yang kata, motifnya pasal duit. Ada pihak yang mahu Misbun keluar, supaya peruntukan kerajaan kepada BAM dalam Program Road to London 2012 pun keluar sama, mengalir ke kantung mereka.

Iyelah, Chong Wei kan ke harapan utama? Jika Misbun keluar BAM, dan Chong Wei pun keluar BAM, diorang fikir duit tu pun akan ikut keluar.

Aku dengar ada jugak personaliti yang pernah aku 'usik dan tegur' dalam posting sebelum ini, mainkan peranan jugak pada awalnya. Aku rasa macam dia nak 'tumpang sekaki' jugak kot. Tapi tak pulak aku tahu apa perkembangan atau sejauh mana 'pembabitan' personaliti ini.

Aku dah lama tak mengintai kat dalam BAM dan orang-orang luar yang suka mengusik BAM ni. Mungkin sudah tiba masa untuk aku 'aktif' balik kot. Tunggu la, mungkin ada perkembangan terbaru akan timbul lagi tak lama lepas ni.