Thursday, March 18, 2010

Astro Arena - Nadi Sukan Malaysia

Astro Arena - dengan 'tagline' Nadi Sukan Malaysia - dilancarkan secara rasminya oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (OCM), pagi tadi. Himpunan jaguh-jaguh sukan negara - daripada dahulu hingga sekarang - turut hadir menggemilangkan majlis pelancaran itu.

Bersama 'bos' saya, Pengarang Urusan Astro Arena, Dez Corkhill
Saya bertuah dan gembira kerana berpeluang menjadi 'ahli keluarga perintis' kepada apa yang mungkin boleh dianggap sebagai satu lembaran sejarah baru sukan negara.
Astro Arena, di saluran 801 dan 'percuma' kepada semua pelanggan Astro - termasuk yang hanya menikmati pakej asas keluarga - adalah saluran sukan pertama tempatan yang akan beroperasi 24 jam dan menyiarkan majoriti perkembangan sukan tempatan apabila mencecah tahap operasi maksimum nanti.
Saluran ini akan ke udara pada 26hb Mac ini. Antara paparannya - buletin sukan 'Nadi Arena' yang akan disiarkan setiap hari pada jam 7.30 malam. Saya punya watak dan pembabitan secara langsung dengan buletin yang dipertanggungjawab kepada Jabatan Berita Astro Arena.
Turut dalam 'menu' sebaik ke udara nanti ialah rancangan bual bicara 'Kafe Sukan' setiap malam Isnin, rancangan khas bertopikkan bola sepak 'Formasi' setiap malam Rabu dan 'Aktifpedia' yang akan memberi peluang kepada penonton untuk lebih mengenali persatuan-persatuan sukan dan atlit-atlit negara daripada pelbagai jenis sukan - baik sukan utama mahupun sukan yang mungkin sekian lama dipinggirkan.

Dari kiri - Wan Norbazly (wartawan Astro Arena), saya, Datuk Rohana Rozhan (Ketua Pegawai Eksekutif Measat Broadcast Network System), Tunku Imran (Presiden OCM), Datuk Ahmad Shabery, Venu Ramadass (Pengurus Saluran Astro Arena) dan Ahmed Faisal Jamal (Penerbit Nadi Arena).