(Detik keganasan penonton Selangor dan Kelantan di Stadium Shah Alam, 12 Oktober 2010. Gambar diambil dari laman web Berita Harian, tanpa kebenaran)Belum pernah dalam lebih 20 tahun terbabit dalam arena sukan tempatan, termasuk majoritinya membuat liputan bola sepak, aku didedahkan dengan berita kematian penyokong yang hadir menyaksikan sesuatu perlawanan.
Malam Selasa lalu, ianya berlaku. Ia memang berita cukup menyedihkan. Tambahan pula ketika mutu bola sepak negara belum lagi mencecah tahap tinggi, seperti di negara-negara hebat yang memang terkenal dengan budaya 'hooligans', atau samseng bola sepak.
Ia memang menyedihkan. Lebih sedih kerana serentak itu juga, 'permainan Malaysia' - menuding jari kepada orang lain - juga cepat dimainkan. FAM juga bersikap aneh kerana reaksi terawal badan induk itu ialah 'Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) tidak bersalah. Ia berlaku di luar stadium.'
Apa sudah jadi ni?
Apakah awal-awal lagi FAM menghantar isyarat 'layanan kes ini akan berbeza?'
Kita pastinya masih ingat insiden keganasan penonton di Kota Bharu tahun lalu. Ia juga berlaku di luar stadium. Tetapi Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) tetap didapati bersalah, dan dihukum - gantung stadium dan denda mencecah ratusan ringgit. Hukuman itu dijatuhkan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM.
Esok, Jumaat, 15 Oktober, Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM akan bermesyuarat. Persoalannya kini, apakah akan ada dalam agenda mengenai insiden terbaru di Shah Alam itu? Atau adakah FAM akan hanya berdiam diri kerana Setiausaha Agung FAS, Datuk Hamidin Amin, adalah pemegang jawatan Naib Presiden FAM dan juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan?
Aku tidak mahu buat banyak spekulasi. Tetapi atas nama konsistensi, harus ada pendirian dan langkah serta tindakan yang sama. Jangan nanti dituduh FAM bersikap pilih kasih. Lagi satu, harap jangan ada alasan yang dibuat-buat untuk menutup kesalahan mana-mana pihak. Kata orang, bangkai gajah tidak akan dapat ditutup dengan nyiru kelapa!
Ini memang menarik. Tepat makna 'ditelan mati emak, diluah mati bapa.'
