(Dari kiri: Datuk Abdullah Hishan, Datuk Subahan Kamal, Tengku Abdullah, Tan Sri Annuar Musa, Datuk Hamidin Amin dan Datuk Afandi Hamzah)
Kongres Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berakhir dengan kembalinya Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah ke jawatan nombor dua badan induk itu. Turut bersamanya kali ini ialah Tan Sri Annuar Musa, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).
Untuk jawatan 'pemimpin pelapis utama', Datuk Subahan Kamal, Datuk Hamidin Amin, Datuk Afandi Hamzah dan Datuk Abdullah Hishan, mengisi jawatan Naib Presiden FAM.
Lapan kerusi Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM diisi oleh:
Datuk Takiyuddin Hassan, Datuk Astamam Abd Aziz, Mejar Rani Abdul Rahim, S Sivasundram, Dr Hamdan Katib, Othman Salleh, Rosmadi Ismail, Jeffry Loh.
Tahniah kepada semua yang menang. Kepada yang kalah, itu bukan alasan untuk 'mencipta huru hara.' Aku kagum dengan keperibadian Datuk Che Mat Jusoh, bekas Naib Presiden yang kecundang dalam cubaan untuk jawatan Timbalan Presiden. Dia tetap 'cool.'
Aku harap mereka yang menang mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab tergalas dengan sehebat mungkin. Sama hebatnya dengan keghairahan berkempen, terutama pada beberapa hari terakhir menjelang kongres itu.
Aku memilih untuk tidak membuat ulasan sebelum pemilihan, untuk mengelak posting dalam blog ini disalahtafsir sebagai menyokong mana-mana calon bertanding. Aku pernah terbabit dalam 'permainan' sebegini sebelumnya, jadi kali ini, aku memilih untuk bersikap neutral.
Tapi itu tidak menghalang beberapa calon daripada menghubungi aku. Minta untuk membantu.
Aku sedar, dengan sedikit pengaruh yang ada, mungkin aku mampu memainkan peranan. Tetapi pada masa sama, dengan 'kemarahan' peminat begitu membuak-buak - mahu melihat barisan kepimpinan baru yang lebih berwawasan - aku memilih untuk membiarkan perwakilan berdikari membuat pilihan.
Tapi itu bukan bermakna tiada yang berusaha. Banyak! Ramai! Lihat sahaja ulasan dan ramalan di dada-dada akhbar dan juga di saluran lainnya. Itu pilihan masing-masing. Itu agenda tersendiri.
Aku, seperti yang lain, amat mahukan angin perubahan. Bukan setakat sepoi-sepoi bahasa. Jika bola sepak negara perlukan taufan melanda, ia harus diusahakan. Jika gegar tsunami dituntut, ia wajar dijelmakan. Semuanya demi bola sepak negara - agenda yang harus kekal satu di minda setiap pemimpin yang diberi tanggungjawab sebaik berakhirnya kongres kali ini.
Ingat-ingatlah!
The King, his family and U
2 weeks ago
No comments:
Post a Comment