Dalam memandu ketika perjalanan pulang daripada Johor Bahru ke rumahku, hari ini, aku kerap menukar stesen radio kerana frekuensinya yang berubah-ubah.
Ketika asyik membelek-belek stesen sesuai untuk jadi teman aku dalam perjalanan, terdengarlah satu iklan mengenai kopi serbat (kalau tak silap). Yang aku kenal suaranya ialah watak 'Ravi' dalam sitkom 'Pi Mai Pi Mai Tang Tu' dulu. Trademark ayatnya: 'Sudah Tukar Ka?'
Lantas, mari aku persembahkan 'sitkom terbaru' ciptaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Dalam Akhbar Harian Metro, bertarikh 8 Oktober 2005, muka surat 59, ada berita bertajuk: 'Presiden Sokong Denda 5 Kelab'.
Petikan beritanya seperti ini:
'Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah, menyokong tindakan Jawatankuasa Pertandingan FAM ke atas lima pasukan kelab yang menarik diri daripada menyertai Liga Malaysia musim depan.Menurut beliau, tindakan tegas terhadap lima pasukan itu adalah wajar kerana ia menyusahkan FAM, termasuk menjejaskan masa depan pemain kelab terbabit."Pasukan terbabit sudah menerima pengajaran setimpal dan diharap ia akan menjadi pengajaran terhadap pasukan lain yang ingin menarik diri..."Beliau mengulas laporan mengenai dua kelab iaitu Public Bank dan MK Land masing-masing didenda RM50,000 dan digantung daripada menyertai sebarang perlawanan sehingga 2010 selepas menarik diri daripada Liga Malaysia musim depan..."Akhbar Berita Harian, bertarikh 19 September 2006, muka surat 22, ada berita bertajuk: 'MPPJ Kena Gantung, denda RM50,000.'
Petikan beritanya:
Angkara sikap berlengah untuk mengesahkan penyertaan dalam Liga Super musim depan, MPPJ dihukum dengan penggantungan dua tahun dan denda RM50,000 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.Keputusan itu diputuskan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM selepas tiada sebarang khabar berita diterima daripada pengurusan kelab berkenaan selepas tamat tempoh rayuan asal, 30 Ogos lalu...'Apa yang kita faham daripada dua cerita ini? Satunya, ORANG NOMBOR SATU FAM sokong supaya mana-mana pasukan yang tarik diri, harus kena hukum 'kerana ianya menyusahkan FAM dan menjejaskan masa depan pemain...'
Nombor dua: FAM konsisten mengenakan penggantungan dan denda standard: RM50,000 kepada mana-mana pasukan yang menarik diri selepas 'gagal mengesahkan penyertaan untuk musim akan datang.'
Dah Faham? Okey?
Sekarang, mari kita tengok pula kenyataan dalam akhbar New Straits Times, 14 Oktober 2009, ditulis Ajitpal Singh, dengan tajuk 'Malacca in doubt, Sarawak out.'
Dua perenggan terakhirnya berbunyi macam ni:
'Azzudin said teams that pull out from next season's M-League will not face disciplinary action."According to FAM rules, only those who withdraw midway through in the season will be sanctioned," he said.'Soalan aku sekarang ialah: 'Sudah Tukar Ka?'
* Aku sekarang sedang bercuti. Aku ada salinan peraturan pertandingan Liga Malaysia 2009 yang diluluskan Majlis FAM, tapi tersimpan di pejabat.
Seingat akulah, peraturannya masih sama - sapa tarik diri, dia kena gantung. Sampaikan pegawai pasukan yang tarik diri pun, akan kena gantung. Itu aku ingat sebab masa MyTeam ura-ura nak tarik diri untuk musim depan, Datuk Che Mat Jusoh, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM ada kata - dalam akhbar juga - yang tiada mana-mana pegawai akan terkecuali daripada digantung daripada terbabit dengan bola sepak jika pasukan mereka menarik diri.
Aku ingat sangat, sebab itu timbulkan kemungkinan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, yang juga Timbalan Presiden FAM, tidak boleh terbabit dengan bola sepak. Lagilah aku ingat, sebab masa tu, aku langsung tak yakin FAM akan berani buat punya!
Aku akan cuba dapatkan salinan peraturan itu daripada pejabat. Tapi aku mahu terlebih dahulu tuan badan yang mengeluarkan kenyataan paling akhir kat NST tu supaya dapat kemukakan bukti lebih spesifik: peraturan apa, artikel nombor berapa, kat mana dalam buku peraturan itu, yang kata pasukan menarik diri sebelum bermula musim, tidak akan dikenakan hukuman.
Buku peraturan tu pulak mestilah yang sudah diluluskan oleh Majlis FAM, dan sama dengan apa yang ada dalam simpanan mana-mana pasukan negeri serta kelab, jika kita perlu nanti nak jadi bukti tambahan, mana tahu kalau buku versi yang aku ada tak sama dengan apa yang dia ada.
Jika ada bukti, aku akan terima. Jika tidak, macam mana nanti nak jawap kepada 'ketidak adilan' yang terpaksa diharungi pegawai-pegawai bola sepak daripada public bank, mk land dan mppj yang benar-benar ikhlas nak terbabit dalam bola sepak, tapi tak boleh kerana FAM gantung mereka ekoran ada kaitan dengan kelab yang juga tergantung.
Jika takde bukti kepada persoalan 'Sudah Tukar Ka?' itu, mungkin lebih baik kita tukar aje tuan punya badan yang buat kenyataan....betul tak?