Monday, June 20, 2011

Nasib Ong Kim Swee & K Rajagobal

Dalam tempoh dua hari, dua jurulatih negara, Ong Kim Swee dan Datuk K Rajagobal, diuji dan dinilai menerusi persembahan skuad bimbingan masing-masing di pentas aksi antarabangsa.

Ketika Rajagobal kian memperkukuh reputasi menerusi persembahan bersemangat anak buahnya ketika membenam Myanmar 2-0 di Kota Bharu, Kim Swee sebaliknya jadi objek penilaian lebih kritis selepas barisan Olimpik negara kendaliannya sekadar seri 0-0 dengan Lubnan di Beirut.

Ada yang mempersoalkan pendekatan terlalu bertahan skuad Kim Swee di babak pertama. Kerana apabila mereka mengubah pendekatan di separuh masa kedua, ternyata pemain-pemain mampu menandingi dan kerap kali mengancam kubu lawan.

Memang boleh difahami betapa Kim Swee mungkin lebih mahu mengejar seri di gelanggang lawan dan mengharapkan prestasi hebat untuk membenam Lubnan di Stadium Nasional, Khamis nanti.

Namun pada masa sama, bila ada peluang, persoalannya ialah mengapa ia tidak dimanfaatkan? Ada juga yang lebih kritis dan mula menganggap 'skuad Olimpik memiliki barisan pemain bagus tetapi ditunjangi jurulatih yang salah.'

Aku belum mahu membuat penilaian terburu-buru. Aku masih mahu memberi peluang kepada Kim Swee.

Kerana Rajagobal juga kini menyerlah bersama anak-anak buahnya setelah diberikan masa untuk 'meningkat.' Jika Rajagobal mampu melakukannya, tidak mustahil Kim Swee juga berupaya menuruti jejak sebegitu.

Cuma, Kim Swee perlu akur betapa dia tidak mampu lari daripada jadi tumpuan. Kerana itu, aksi di gelanggang sendiri nanti, amat penting untuk dia mengukuhkan lagi reputasi. Jangan sekadar nanti, kita tenggelam kerana hanya syok sendiri.

Aku percaya, ramai yang kini menanti untuk melihat apa yang bakal ditukar jadi realiti.

No comments: