Sunday, June 12, 2011

Final FA penuh debar, Terengganu berhak muncul juara

Penantian Terengganu untuk muncul juara Piala FA buat kali kedua dalam tempoh 11 tahun, akhirnya dinoktahkan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam Sabtu lalu.

Wajah penuh riak kepuasan yang terpancar itu jelas satu bukti rasa gembira ibarat di puncak dunia. Apa tidaknya, ia dilakukan menerusi cara kebangkitan terhebat, menerusi gol penyamaan di minit-minit terakhir masa permainan, disusul gol kemenangan cantik di masa tambahan, ke atas Kelantan yang diperakui kini sebagai kuasa utama bola sepak negara.



Skuad kendalian Irfan Bakti jelas berhak merasai gembira, berhak diulit bangga, kerana mereka memang wajar dinobat selaku juara.


Gol Ahmad Nordin Alias pada minit ke-110 memastikan piala kembali ke Kuala Terengganu, dengan kemungkinan piala itu mampu terus kekal dalam koleksi Sang Penyu ketika ada ura-ura piala baru akan diperagakan untuk kancah saingan sama, musim depan.


Namun pada masa sama, tahniah juga kepada Kelantan yang telah memberikan tentangan hebat. Juga, tahniah buat penyokong-penyokong The Red Warriors yang membuktikan betapa ghairah mereka terhadap pasukan sanjungan, tiada tolok bandingnya ketika ini.


Cuma, masih ada segelintir yang mencipta onar. Balingan mercun yang jelas bertujuan menjejas kelancaran perlawanan, adalah tindakan yang bukan 'anak jantan,' bukan sesuatu yang boleh dijadikan teladan. Perlakuan itu bagaimanapun tidak harus diibarat 'akibat nila setitik, rosak susu sebelanga,' kerana majoriti peminat Kelantan jelas bukan daripada 'acuan sama.'


Tahniah Terengganu. Jangan kecewa keterlaluan barisan Kelantan.


Apa yang penting, ia final menarik. Ia wajah cerminan terbaik bola sepak Malaysia!

No comments: