Pada malam ketiga tahlil sempena pemergian ayahku, 20 Jun lalu, aku bertemu seorang yang layak dipanggil rakan. Dia, seperti diakuinya sendiri, adalah peminat setia pasukan bola sepak Perak.
Dia mungkin tidak pernah menjejak kaki keluar daripada Perak, tetapi Stadium Perak di Ipoh ibarat rumah kedua kerana kekerapannya hadir dan memberikan sokongan kepada pasukan 'Kejor Yob Kejor'.
Kami sempat bersembang dan bercerita. Apa yang menariknya ialah wajah gembira penuh ikhlas ketika dia menceritakan 'belanja' yang dinikmatinya apabila terserempak ayah penyerang Selangor, Safee Sali.
"Pagi tu, aku ke Tapah, terjumpalah bapak di Safee. Anaknya baru bagi duit kat dia selepas dapat bonus dari Selangor. Jadi, aku untungle dapat makan free pagi tu," katanya sampai disusuli ketawa.
Itu bukan kali pertama. Malah beberapa tahun lalu, ketika aku pulang ke kampung dan kebetulan menghadiri satu majlis tahlil jiran, perbualan di antara orang kampung ketika menjamu selera ialah mengenai bola sepak. Ketika itu, Perak antara tiga pasukan teratas Liga Super, jadi sudah tentu makin rancak cerita mereka.
Aku percaya, ini bukan sesuatu yang asing. Masih ramai peminat bola sepak di seluruh ceruk kampung yang setia dengan pasukan negeri masing-masing. Bagi mereka, naik prestasi pasukan, makin rancaklah cerita di kedai kopi. Turun pencapaian pasukan, analisis mereka pasti lebih hebat daripada pengulas sukan di kaca televisyen.
Itulah wajah sebenar bola sepak kita. Tetapi yang aku hairankan, mengapa tidak ramai mahu peduli? Aku percaya bukan sahaja di Tapah, Temoh, Malim Nawar ataupun Bagan Datoh di Perak, tetapi banyak lagi kampung di setiap negeri dengan peminat yang masih sayangkan bola sepak kita.
FAM dan persatuan negeri sebagai ahli gabungannya, hanya tahu merangka ikut sedap diri saje. Percayalah, aku tahu itu hakikatnya. Belum lagi aku boleh percaya dengan kata-kata 'keputusan ini demi untuk memartabatkan bola sepak negara'. Selagi ada sikap 'aku tolong kamu, kamu tolong aku' sesama ahli gabungan badan induk itu!
Perubahan sepatutnya bermula daripada diri kita dahulu. Janganlah kita terpekik terlolong mahu orang berubah, jika kita sebaliknya tidak mahu keluar daripada 'zon selesa' kita.
Mungkin sudah tiba masa FAM berfikir sebaik-baiknya. Ikhlas, demi martabat bola sepak negara! Entahlah...
The King, his family and U
2 weeks ago
No comments:
Post a Comment