Tuesday, April 7, 2020

'PANCAROBA TIGA MINGGU MCO'

Hari ini, 7 April 2020, hadir selaku penggenap tiga minggu tempoh 'Arahan Kawalan Pergerakan (Movement Control Order) yang dikuatkuasakan oleh Kerajaan demi memutuskan rangkaian virus Corona Virus (Covid-19) di kalangan masyarakat.

Di sebalik keluh kesah dan cerita gelisah yang terpampang nyata di media sosial, lonjak rasa umumnya masih sehaluan - ianya satu pengorbanan yang harus dilakukan demi harapan untuk kehidupan mampu kembali seperti sebelumnya.

Fokus pengorbanan itu turut bertiup ke arena bola sepak negara, dengan desakan nyata supaya pasukan dan pemain mencapai kata persetujuan terhadap saranan pemotongan gaji demi menyelamatkan kedudukan kewangan ketika tiada langsung sepak bola mampu dilakukan.

Lonjak kronologinya terasa apabila Persatuan Pemain-pemain Profesional Malaysia (PFAM) bingkas membentak dan enggan langsung melayani idea pemotongan terhadap ahli-ahlinya.

Sahabat, Rizal Hashim, (rizalhashim.blogspot.com) ada bertanyakan saya tidak lama selepas reaksi keras PFAM itu. Jawab saya mudah: "Dalam situasi tidak menentu ketika ini, dengan wabak Covid-19 menuntut segala serbi pengorbanan, PFAM sudah terlepas peluang keemasan."

Peluang keemasan meletakkan warga PFAM lebih dekat dengan masyarakat. Bukan setakat daripada segi 'PR exercise', tetapi juga sebagai contoh untuk diikuti oleh pelbagai lapisan masyarakat lainnya.

Kenapa PFAM dan ahli-ahlinya? Kerana pemain-pemain wujud selaku pemegang taruh utama sukan nombor satu negara yang menjadi ikutan jutaan peminat-peminat. Dalam ertikata lain, PFAM terlepas peluang untuk 'menjadi lebih besar', bukan hanya berfikiran dalam lingkungan terhad!

Memang isu pembayaran lewat atau kegagalan pasukan melunaskan gaji sebelum ini layak disandar sebagai alasan untuk enggan, tetapi dalam 'situasi luar biasa' kini, sikap lebih positif buat sekurang-kurangnya tidak langsung menutup pintu rundingan, adalah pilihan lebih bijak.

Sayangnya, peluang keemasan dilepaskan, sewaktu kesediaan yang hadir lewat kini lebih dianggap sebagai 'Pusingan-U terpaksa' yang dipersenda keikhlasannya.

Inilah ruang masih tertinggal buat komuniti pemain negara. Untuk keluar daripada pemikiran terhad berpaksikan kepentingan diri dan mencipta 'added value' yang berpotensi membuahkan lebih hasil - termasuk daripada segi komersil - jika tahu menghadamnya secara lebih jauh ke hadapan.

Contoh paling mudah untuk difahami - kapten Liverpool, Jordan Henderson.
Henderson mencetus inisiatif peribadi dengan menghubungi semua kapten kelab Liga Perdana Inggeris untuk memulakan kutipan derma bagi tabung rawatan Covid-19 untuk disalurkan ke Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) di Britain.

Ia menampakkan personaliti 'lebih besar' dimilikinya

Bukankah itu sekali gus melonjakkan 'nilainya' di semua khalayak - bukan sahaja dalam komuniti bola sepak dan rakyat Britain, tetapi juga kepada seluruh peminat sukan seluruh dunia?

Mungkin secebis nasihat kepada teraju PFAM - kumpulan pemimpin yang baik punya daya fikiran jauh ke hadapan, punya wawasan. Itu bakal membuatkan mereka dipandang sebagai punya nilai dan diyakini.

Sekian, Wallahuaklam.

No comments: