Monday, April 20, 2020

Budaya 'norma baru' usai Covid-19

Pengajaran paling utama daripada 'pengalaman' wabak Covid-19 yang sedang membelenggu seantero dunia ketika ini ialah kita tidak akan mampu kembali menjalani kehidupan biasa seperti sebelumnya.

Penjarakkan sosial adalah satu kemestian baru, ketika perhimpunan membabitkan jumlah ramai mungkin bakal wujud sebagai imbauan 'lontaran ke belakang' yang dirindui senantiasa oleh kita.

Kita mungkin tidak lagi mampu menikmati keseronokan bermasyarakat seperti dahulu, dengan pergerakan ke serata tempat juga dicatu kepada hanya yang benar-benar perlu. Paling awal, unsur-unsur normal yang baru mungkin mampu dijalani pada tahun hadapan.

Kerana memetik ayat Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, 'kita masih dalam peperangan yang belum kita menangi.'

Lantas, budaya 'norma baru' ini nanti menuntut perubahan semua sudut, dengan percikannya turut dirasai arena sukan negara.

Paling terkesan, tentunya Liga Malaysia. Petunjuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) begitu jelas - sebaik tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) - garispanduan 'social distancing' ini harus diteruskan untuk tempoh antara enam bulan hingga setahun.

Sekali gus, nasib Liga Malaysia 2020 kini dihumban ketidakpastian. Dua pilihan di tangan - meneruskan liga tanpa gema sorakan penyokong ataupun membatalkan langsung musim 2020.

Ia bukan persoalan mudah untuk dijawab, kerana sebarang langkah dan tindakan bakal mengundang implikasi negatif di sebalik niat murni positif yang mahu dicapai.

Terus tanpa penonton mungkin mampu 'dihadam' pasukan berstatus elit yang menikmati jumlah penajaan selesa. Tetapi ia hadir sebagai 'bencana' buat pasukan yang bergantung lebih separuh bajet tahunan kepada penyokong yang membeli tiket. Kerana gaji pemain dan pegawai tetap perlu dibayar, biarpun isi kantung harus nanti terlalu susut isinya.

Pembatalan juga harus ditangani penuh hati-hati, kerana kesan kewangannya masih ada. Kerana jika tidak diuruskan sebaik mungkin, harus mampu meninggalkan kesan besar kepada 'pemain-pemain' industri bola sepak negara.

Memang tiada bola sakti mampu direnung untuk dicari jawapannya. Ibarat menarik rambut keluar dari tepung, rambut jangan putus dan tepung jangan berserak. Di bahu pimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysia Football League (MFL) tanggungjawab berat itu kini terpikul.

Ramai yang menantikan langkah bakal diumumkan beberapa hari lagi. Badan induk sukan lain di Malaysia juga ternantikan pengumuman FAM / MFL itu, supaya yang baik dapat diikuti.

Semoga pilihan terbaik - dalam situasi serba sukar ini - mampu dirumuskan.

No comments: