Monday, February 21, 2011

Kami berbangga denganmu, Azizulhasni Awang!

Inilah kecederaan yang dialami Azizulhasni Awang. Serpihan kayu yang menusuk terus menembusi betis kirinya ketika final acara keirin di Kejohanan Trek Berbasikal Siri Piala Dunia di Manchester.

Apa yang amat membanggakan ialah kegigihan dan kekentalan semangat anak muda kelahiran Terengganu ini, yang tetap gagah bangkit selepas perlanggaran untuk menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, sekali gus membolehkannya dinobatkan sebagai juara keseluruhan selepas empat sirkit Piala Dunia itu.

Azizul sememangnya bukti ahli sukan negara yang amat berdedikasi, bersemangat tinggi dan mempunyai kecekalan hebat untuk menangani dan menongkah segala rintangan yang mendatang.

Alhamdulillah juga diucapkan kerana selepas menjalani pembedahan hampir empat jam, serpihan kayu itu berjaya dikeluarkan tanpa ada langsung merosakkan sebarang arteri darah ataupun otot yang mampu meyingkirkannya daripada medan saingan untuk tempoh panjang.

Syabas buat Azizulhasni Awang, kami warga Malaysia sememangnya berbangga dengan kegigihan dan kejaguhan anda! Semoga Azizul cepat sembuh dan dapat meneruskan impian peribadi - dan juga jutaan rakyat Malaysia - untuk dikalungkan pingat emas pada temasya Sukan Olimpik 2012 di London nanti.

No comments: