Thursday, December 30, 2010

Tahniah Harimau Malaya!

Tahniah skuad bola sepak negara. Tahniah K Rajagobal. Tahniah kapten, Safiq Rahim. Tahniah barisan pemain-pemain muda negara.

Biarpun kecundang 1-2 kepada Indonesia pada final kedua di Stadium Gelora Bung Karno, hak skuad negara bergelar juara Piala AFF Suzuki buat julung kalinya memang tidak dapat dinafikan. Mereka memang berhak.

Lebih menarik ialah melihatkan situasi di mana seluruh warga Malaysia, tidak kira usia, kaum mahupun latar belakang, yang sama-sama bersorak gembira dan berkongsi keghairahan hasil kejayaan ini.

Ini hanya permulaan. Perjalanan masih jauh. Kita bangga dan hargai pencapaian mereka. Kita juga mahu percaya, barisan pemain-pemain ini mampu mengangkat Malaysia ke tahap lebih tinggi lagi - supaya tidak lama lagi, kita mampu dengan mudah menamakan kesebelasan skuad negara, bukan lagi hanya tahu barisan utama kelab-kelab liga asing yang jadi pujaan.

Tahniah, sekali lagi, Harimau Malaya. Garuda dipatahkan sayap, kini detik Harimau Malaya mengaum bangga!

Tuesday, December 28, 2010

Tanah Tumpahnya Darahku!

Sudah lama aku tidak berkesempatan untuk membuat posting terbaru dalam blog ini. Sibuk dengan tugasan. Kini baru ada sedikit kelapangan.

Aku baru terima berita daripada wartawan Nadi Arena, Fina Nasrom, mengenai 'gangguan' dihadapi skuad negara sehari sebelum final kedua Piala AFF Suzuki di Jakarta.

Sesi latihan yang awalnya dijadualkan di padang yang lebih hampir, ditukar ke gelanggang lebih jauh tidak sampai dua jam sebelum sesi bermula. Akibatnya, skuad negara tersangkut dalam kesesakan lalu lintas dan terpaksa berpatah balik ke hotel penginapan.

Pilihan alternatif dicari. Lantas, Rajagobal memilih untuk berlatih di kawasan berhampiran hotel. Tetapi sesi mereka disedari penyokong tuan rumah yang kemudiannya bertindak untuk bukan sahaja menghampiri, memegang sepanduk berbaur provokatif, tetapi turut menjeritkan pelbagai lagi kata nista terhadap seluruh skuad negara.

Aku memang sedih dengan perilaku itu. Ia ada terakam dalam visual yang disiarkan di Nadi Arena. Apakah kerana keinginan melampau untuk tetap meraih kemenangan, Indonesia lupa mengenai erti semangat kesukanan? Atau mereka memang langsung tidak tahu apa makna perkataan itu?

Ketika skuad republik itu di Malaysia, mereka dilayan dengan layanan terbaik. Padang latihan terbaik diberikan. Kawalan keselamatan sentiasa ada. Peminat tempatan juga tidak pernah bertindak keterlaluan. Dalam erti kata lain, kita rakyat yang bersopan!

Tetapi mereka berbeza. Ia memalukan. Tetapi tidak bagi mereka. Kerana itu semua 'dihalalkan' demi mahu mencapai kemenangan, biarpun mungkin dengan cara yang layak dianggap terlalu 'kotor.'

Kerana itu, aku sentiasa sayangkan Malaysia. Mungkin tidak keterlaluan untuk menyimpulkan betapa seberapa fanatik pun kita, kita lebih bertamaddun. Ini tanah tumpahnya darahku!

Aku harapkan kemenangan. Itu bukti terbaik betapa skuad bola sepak negara adalah perwira sejati, yang menggegar biarpun lawan menghumban segala bentuk cabaran penuh mencabar!.