Kini tahulah aku tentang apa yang dinamakan sebagai 'pengorbanan tanpa mengejar balasan.'
Dalam hidup, ada kalanya kita beruntung kerana diberi kesempatan untuk belajar dan merasai pengalaman serta pendedahan baru. Bagi aku, antara rintisan peluang terbaru yang hadir ialah sepanjang tempoh sama-sama berusaha untuk menjayakan penganjuran Majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100Plus-KBS yang berjaya dilangsungkan, Sabtu lalu, 20 Februari 2010.
Alhamdulillah, semuanya berlangsung dengan lancar. Di luarannya, segalanya nampak sempurna. Ramai yang gembira, ramai juga yang terharu dengan beberapa 'sentuhan peribadi' yang SAM jelmakan.
Namun banyak juga cerita 'di sebalik tabir' yang mencipta gelisah, menimbulkan rasa panik, mahupun mencetus detik yang ada kalanya membuatkan darah menyirap ke muka.
Cuma pada kesempatan ini, aku mahu mengingati semua 'yang baik-baik sahaja.'
Aku telah katakan ketika memberi ucapan sebelumnya. Cuma kali ini, aku mahu rakamkan juga penghargaan di laman blog ini:
Saudara Eric Samuel dan Asan Ahmad - dua naib presidenku yang juga Pengerusi Bersama Majlis Anugerah SAM-100Plus-KBS 2009 - pujian ikhlas di atas kegigihan, kesungguhan, semangat kental dan ketabahan menangani segala macam cabaran yang menjelma. Anda berdua punya watak dan kualiti selaku pemimpin yang wajar diketengahkan. Anda berdua bukti betapa masih ada yang rela berkorban, tanpa langsung mengejar sebarang habuan!
Juga terima kasih dan pujian buat seluruh ahli-ahli exco lainnya. Anda semua tahu bahawa anda sudah memainkan peranan masing-masing. Berat sama-sama kita pikul, ringan sama-sama kita jinjing.
Terima kasih juga kepada ahli-ahli SAM yang 'sudi untuk kembali hadir' ke majlis kali ini. Ia bukti anda semua masih menyokong SAM. Betapa SAM masih relevan, kerana anda semua masih mempercayainya.
Aku juga terharu dengan kesanggupan barisan pemimpin nombor satu sebelumnya - Datuk Fauzi Omar, Shaukei Kahar, Mustakim Aminuddin dan Abu Bakar Atan - untuk menerima jemputan hadir ke majlis kali ini. Sumbangan tuan-tuan kepada SAM amat besar dan tidak ternilai harganya.
Terima kasih. Banyak yang aku pelajari. Semua ini adalah penambah pengalaman.
The King, his family and U
2 weeks ago