Thursday, March 26, 2020




ASTRO ARENA KINI SUDAH 10 TAHUN!

(Saya menyusun 10 jari memohon kemaafan kerana setelah sekian lama, akhirnya kembali menjelma untuk meneruskan coretan di blog milik peribadi ini)

Hari ini, 26hb Mac 2020, program berita Astro Arena - NADI ARENA - genap mencecah usia 10 tahun!

Melontar kenangan ke detik 10 tahun lalu, tanggal 26 Mac 2010, ternyata momen itu diharungi tanpa ada sebarang ketentuan pasti - apakah rintisan langkah ke satu daerah asing selaku saluran sukan tempatan pertama di Malaysia berupaya mencetuskan transformasi diidamkan? Mampukah Nadi Arena menjadi wadah yang menjelmakan sumbangan menerusi laporan padat dan cetusan-cetusan idea penyemarak kancah sukan negara?

Alhamdulillah, di sebalik susah payah, perit jerih dan segala bagai rintangan terpaksa diharungi, langkah bertatih di awalnya kini sudah berubah menjadi pecutan yang acap kali mencipta kesan kepada perkembangan atlit, pegawai mahupun pengurusan badan sukan tempatan.

Barisan tonggak asal seperti hos, Akbar Sahari dan Edleen Ismail, wartawan Bazly Azmi dan Fina Nasrom, penerbit Rozaini Ahmad dan Nadira Hamid (bermula sebagai penolong penerbit), jurukamera Nizam Baharuddin, S Pulendran dan Azri Malik yang sama-sama di garis mula, masih setia seusai satu dekad Nadi Arena.

Di garis mula ketika itu, terpahat juga nama-nama seperti Pietro Felix, Rashid Salleh, Faisal Jamal, Yeoh Li Ying, Nurul Ain Mohd Noor, Amri Ramli, Mahammad Ab Kadir, Hafizan Halim dan Suriati Sanusi yang melengkapkan pasukan kecil untuk Jabatan Berita Astro Arena.

                              (Logo pertama Nadi Arena)                                                           

Namun peredaran masa menyaksikan perubahan tidak terdaya dihalang...cuma bezanya, keampuhan Nadi Arena terus memanjat puncak pengiktirafan, dibantu kehadiran barisan warga kerja mantap, silih berganti, buat meneruskan legasi demi 'meraikan sukan Malaysia' (Celebrating Malaysian Sports).

Kini, Nadi Arena turut diperkuat kehadiran orang lama dalam bidang kewartawanan sukan, Lukman Salleh, selain generasi penguat seperti Fadzrie Hazis (penerbit) dan senarai wartawan berwibawa seperti Ahmed Shahrazad, Zulhelmi Zainal Azam, Adam Zamri serta muka-muka muda penuh bersemangat seperti Nur Syakirah, Wan Muiz dan Halizah Hamzah.

Di bidang produksi, kematangan kini dimiliki wajah-wajah seperti Famizal, Hafizur, Radzi (Cipo), Ismail, Karl Nunis, Anuar (Tok' Adi), Rusyaidi dan Badiuzzaman ketika Suzana Basri, Jun Yong, Hafizal Hamad, Azlan Mubin dan Dayang Atul mengambil giliran selaku penyampai Nadi Arena.

Turut tidak dilupakan tunjang tambahan seperti Hurzaid, Ezreen (Bobo), Syafiq, Irsyahdi (Bob) dan Saiful yang jadi perakam kepada pelbagai visual disajikan kepada penonton. Dan semestinya pasukan ketika ini tidak lengkap tanpa pengendalian efektif Sairatul Azimah!

                              (Logo terkini Nadi Arena)

Jabatan Berita Astro Arena, dalam tempoh 10 tahun kewujudan, turut pernah menerbitkan program majalah yang menyiasat topik-topik tumpuan sukan negara - Dekripsi Nadi Arena (DNA) - yang bertahan selama 10 episod :-)

Pembawa cerita dalam program Dekripsi Nadi Arena (DNA)

Daripada sudut peribadi, kesempatan terjelma selaku antara peneraju perintis yang menghidupkan 'Nadi Arena', adalah aturan langkah yang hadir tepat pada masanya. Gelisah yang pernah menjelma dalam usia perkhidmatan di tempat berbeza ketika itu, diredakan apabila menjelma peluang keemasan untuk menyertai kumpulan asal Astro Arena.

Astro Arena dilancarkan secara rasmi pada 18hb Mac 2010, dalam majlis penuh gilang gemilang yang diwarnai kehadiran tetamu kehormat, Datuk Seri Shabery Cheek, yang menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan, ketika itu.

Turut bersama pada majlis penuh bermakna ialah Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) ketika itu, Tunku Imran Almarhum Tuanku Ja'afar dan Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Datuk Rohana Rozhan.

 
(Bergambar bersama, dari kiri, Bazly Azmi, saya, Datuk Rohana, Tunku Imran, Datuk Seri Shabery, Venu Ramadass (pengurus saluran Astro Arena) dan Faisal Jamal selepas majlis pelancaran Saluran Astro Arena pada 18 Mac 2010)

Sukar untuk percaya betapa Nadi Arena berjaya bertahan untuk mencecah usia 10 tahun!

Insya-Allah, semoga wujud kesempatan untuk Nadi Arena meraikan dekad kedua kewujudannya nanti.